Sabtu, 6 September 2014

Soto Ayam Resipi Bonda

Sebelum saya terlupa apa bahan-bahannya. Kertas yang saya tulis bahan-bahannya pun dah nak berkecai. Lebih baik saya letak di blog saya. 

Ini antara kegemaran saya. Sudah hampir 4 tahun, wajib ada semasa raya puasa. Suka juga menjamu rakan-rakan dengan ini. Nak buat dia memang renyah!




Kita tengok bahan-bahannya. Ini untuk seekor ayam.

BAHAN UNTUK SUP

Ramuan A
Bahan-bahan untuk di kisar.
2 sudu besar biji ketumbar - direndam sekejap kemudian tumbuk
1 sudu besar biji lada putih - direndam sekejap kemudian ditumbuk
2 sudu kecil jintan manis - direndam sekejap kemudian ditumbuk
2 sudu kecil jintan putih - direndam sekejap kemudian ditumbuk
1 inci lengkuas
1 batang serai
1/2 inci halia
12 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih

selepas ditumbuk (mana yang perlu), kisarkan kesemua bahan-bahan diatas.

Ramuan B
25 biji buah pelaga
6 kuntum bunga lawang
10 kuntum bunga cengkih
1 1/2 inci kulit kayu manis

Ramuan C
Seekor ayam yang dipotong 4 (boleh juga masukkan, bahagian lain ayam seperti leher, rangka atau kaki ayam untuk menambahkan rasa pada sup)
Air untuk merebus / kuah sup 
Santan (lebih kurang 3 sudu besar)
1 sudu kecil maggi secukup rasa
Garam secukup rasa

Masukkan ramuan A & B kedalam periuk dan rebus dengan air sehingga mendidih (agak-agak air tuh). Bila sudah mendidih masukkan ayam yang telah dibasuh dan di potong 4 tadi. Jangan tutup periuk semasa merebus ayam tadi. Selepas 20 minit masukkan serbuk maggi secukup rasa (buat syarat jer..tak der pun tak per), garam secukupnya, kacau sebentar dan masukkan santan, kacau lagi perlahan-lahan. Bila ayam telah masak, keluarkan ayam, tunggu sejuk kemudian carik-carik isinya. Bahagian tulang ayam, dimasukkan semula ke dalam sup.



RAMUAN UNTUK BEGEDIL DAGING

Kentang
Daging lembu
Garam secukup rasa
Serbuk Lada Sulah secukupnya
Bawang Goreng - sedikit (guna yang di goreng sendiri bukan yang beli siap)
Daun Sup - sedikit (dipotong halus)
Daun Bawang - sedikit (dipotong halus)
Sebiji telur (kuning, putih asingkan)
Minyak masak untuk mengoreng kentang.

Kupas, basuh dan potong kentang macam wedges dan goreng. Kemudian tumbuk hingga lembut. 
Sama juga basuh, potong daging kemudian kisar bersama bawang putih, serbuk lada sulah dan garam. Pakai dry blender. Kemudian goreng sebentar daging itanpa minyak hingga masak dan tiada air. 
Satukan kentang dan daging kemudian gaul. Masukkan telur kuning, bawang goreng, daun bawang dan sup dan gaulkan. Kemudian bentukkan bulat-bulat dan tekan menjadi leper.
Panaskan minyak, gorengkan begedil yang sudah dibentukkan tadi. Sebelum digoreng, celup dalam telur putih.
Banyak mana nak pakai kentang, daging dan bahan-bahan lain....pandai-pandai la adjust! Saya pun main letak saya. Saya pula kekadang tak asingkan telur putih dan kuning, kekadang saya asingkan. Telur untuk mencelup, kalau tak cukup boleh tambah...2 biji telur.



LAIN-LAIN YANG DIPERLUKAN UNTUK SOTO AYAM
Nasi Impit (saya suka pakai yang kecil, senang nak potong, ikut saj arahan yang ada di belakang bungkusan bagaimana nak merebus...selalunya saya rebus 3 jam bila air kurang saya tambahkan, garam pun saya letak...jangan dipotong nasi impit tu selagi belum betul-betul sejuk)
Daun Sup & Daun Bawang (dipotong kecil)
Taugeh (basuh dan lalukan air panas)
Bawang Goreng (yang buat sendiri...baru sedap)

So Hoon (goreng dengan minyak...selalunya saya cerai-ceraikan dan potong dulu sebelum goreng)
Cili Api Kicap (potong cili api kecil-kecil, lalukan dengan air sup yang panas...macam celurlah, lepas tu tumbuk kemudian blend bersama kicap manis, masin dan cuka)
Kacang Goreng (saya tak letak)
Isi Ayam yang telah direbus dan dicarik-carik tadi



Selamat Mencuba :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.